Pengerusi GLC Sabah, Ghazalie Ansing mengaku disiasat SPRM


KOTA KINABALU- Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd, Ghazalie Ansing hari ini menafikan laporan FMB menyatakan Pengerusi GLC Sabah diserbu SPRM dan lebih RM 80 Juta dibeku dalam akaun peribadinya.

Di dalam satu kenyataan media yang tular Ghazalie Ansing membuat pengakuan bahawa memang benar pada 16 Oktober 2021 yang lalu, beliau telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan dan beliau telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.

Menurutnya lagi, beliau menyatakan bahawa dirinya telah dengan sedaya upaya menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (“CTTSB”) dengan penuh amanah dan telus.

“Perkara ini turut saya kongsikan dengan pihak SPRM dan mengalu-alukan sebarang siasatan dan akan sentiasa memberikan kerjasama serta seterusnya memberikan peluang bagi dirinya untuk membersihkan nama baik saya” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan medianya itu juga, beliau turut menafikan dakwaan dirinya mempunyai kekayaan berjumlah RM 80 Juta dan turut menafikan bahawa dirinya telah bersembunyi dan tidak dapat dihubungi oleh mana-mana pihak .

Sementara itu memetik laporan Sinar Harian pula,  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menafikan bahawa agensi terbabit membuat serbuan terhadap seorang pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.

Beliau berkata, tiada serbuan dibuat oleh pihak SPRM berhubung perkara itu.

“Tiada serbuan dibuat, tak benar cerita itu,” katanya

Ghazalie turut membuat pengakuan mengenai penjualan 45 peratus saham CTTSB namun tidak membuat penafian penjualan itu dibuat kepada syarikat dari Semenanjung Stealth Solutions Sdn Bhd milik Dato’ Amrul Hisyam Alias

Dato’ Amrul Hisyam Alias

Tidak dijelaskan apa motif penjualan saham itu kepada Stealth Solutions Sdn Bhd apakah mungkin kerana pengalamannya atau pendapatan tahunan syarikat ini lebih RM53 juta setahun. Atau mungkin kerana syarikat ini mampu membayar komisen dari pelaksanaan projek?

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak menafikan penyiasatan SPRM terhadap Ghazalie Ansing dan telah memanggil Ghazalie bagi soal siasat susulan aduan daripada seorang pemimpin negara berhubung tindakan Ghazalie ‘menjual’ nama  pemimpin untuk mendapat komisen daripada projek hak eksklusif membangun infrastruktur telekomunikasi di negeri Sabah.

Sumber memaklumkan Ghazalie telah menarik semula kenyataan medianya tanpa memberitahu punca mengapa beliau menarik semula kenyataan medianya itu. Portal-portal yang melaporkan kenyataan media juga telah memadamkan artikel itu. Penarikan itu mungkin dilihat reaksi terlalu awal Ghazalie membuat pengakuan beliau disiasat SPRM.

SPRM sepatutnya mendedahkan penemuan RM 5 juta wang tunai di rumah Ghazalie serta akaun bank puluhan juta itu. Penafian serbuan SPRM hanya meredakan isu yang sedang disiasat sejak 16 Oktober lalu terhadap Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd itu.