Pengerusi GLC Sabah diserbu SPRM, lebih RM80 juta dibeku dalam akaun peribadi


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menyerbu kediaman Pengerusi anak syarikat milik penuh Qhazanah, Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) kerana kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dan kedudukan membabitkan dana bernilai lebih RM80 juta

Menurut sumber suspek berumur 40 an itu turut dipanggil ke Pejabat SPRM memberi keterangan berhubung kekayaan luar biasa dan pembekuan akaun lebih RM80 juta dalam akaun peribadinya

“Siasatan awal mendapati pengerusi syarikat terbabit telah menyalahgunakan kuasa, kedudukan serta memiliki kekayaan luar biasa walau bagaimanapun ia masih dalam siasatan”. katanya

Ghazalie Ansing Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) pada ogos lalu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong telah menandatangani perjanjian pemberian hak eksklusif membangun infrastruktur telekomunikasi di negeri Sabah.

 Hajiji (tengah), Salleh (berdiri kanan) dan Bung (berdiri kiri) menyaksikan tandatangan perjanjian diantara Safar (duduk kiri) dan Ghazalie

Di bawah perjanjian itu CTTSB milik Qhazanah akan menaiktaraf lebih daripada 2,000 menara telekomunikasi dan membangunkan sebanyak 400 yang baru di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Turut menyaksikan perjanjian itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Qhazanah Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

CTTSB adalah salah satu pemilik dan pengendali menara bebas terbesar di Malaysia. Syarikat ini memiliki, mengendalikan dan menguruskan 257 menara telekomunikasi di Sabah berikutan pelantikannya untuk melaksanakan Projek TIME2 di Sabah sejak tahun 2005.

Bagaimanapun sehari selepas perjanjian itu Pengerusi CTTSB menjual 45 peratus saham syarikat itu kepada syarikat Semenanjung iaitu Stealth Solutions Sdn Bhd.

Penjualan saham syarikat CTTSB mencetuskan kecurigaan kerana dilakukan secara ‘diam-diam’ dan tidak dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah dan kabinet negeri. Setakat ini tidak diketahui penglibatan Pengerusi Qhazanah Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mengenai penjualan 45 peratus saham CTTSB.

Untuk rekod syarikat Stealth Solutions Sdn Bhd beralamat di Dataran Mentari, Bandar Sunway Petaling Jaya dimiliki oleh Dato’ Amrul Hisyam Alias  dan isterinya Datin Norul Azwani Mohd Hanafi

Ghazalie Ansing sehingga hari ini tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan siasatan SPRM itu. Beliau dikatakan bersembunyi di satu tempat yang tidak diketahui. Nombor telefon bimbitnya juga telah ditutup. SPRM mungkin akan melakukan tahanan reman atau pendakwaan dalam tempoh terdekat